Ahad, 18 Oktober 2009

TINJAUAN LITERATUR

Tinjauan Literatur




2.1 Pengenalan


Bab ini menerangkan mengenai kajian yang telah dibuat terhadap sistem sedia ada serta sistem yang akan dibangunkan. Kajian literatur adalah bertujuan untuk mengumpulkan maklumat serta mengenal pasti masalah yang berlaku dalam mencari peluang agar dapat meningkatkan lagi produktiviti sistem yang telah dikaji (Whitten, 1994). Bab ini merupakan satu kaedah untuk mengenalpasti masalah dan kekurangan yang terdapat pada sistem sedia ada. Ini membolehkan pembangun sistem menambah serta memperbaiki kekurangan sistem semasa tersebut.



2.2 Sistem Penempahan dan Pengedaran Produk Koko

Sistem Pengurusan Tempahan Produk Koko yang akan dibangunkan ini adalah salah sebuah sistem di dalam kategori Sistem Pengurusan Maklumat. Menurut Suhaimi Ibrahim, et al.(1999), “ Sistem adalah satu set elemen yang dihubungkan bersama bagi memenuhi objektif yang sama. Subsistem adalah sebahagian daripada sistem yang besar. Konsep sistem bagi pengurusan sistem maklumat adalah mengoptimumkan output organisasi dengan menghubungkan subsistem melalui perantaraan pertukaran maklumat.” Sistem terdiri daripada koleksi komponen-komponen berkaitan yang bekerjasama untuk mencapai suatu objektif (Ian Sommerville, 2007).



2.2.1 Sistem

Menurut Carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, sistem mempunyai maksud cara atau kaedah melakukan sesuatu; cara yang teratur untuk melakukan sesuatu; pendapat yang teratur dan tersusun baik-baik yang dijadikan pegangan.

Ciri sistem ini adalah antara muka yang mesra pengguna, mudah lentur, menyokong pelbagai gaya dan proses keputusan, untuk pelbagai peringkat pengurusan sama ada individu atau berkumpulan, berasaskan model untuk analisis, capaian data yang mudah dan pelbagai, menyokong penyelesaian masalah tidak berstruktur dan/atau separa berstruktur, meningkatkan keberkesanan dan menyokong fasa proses pembuatan keputusan. Sistem terdiri daripada koleksi komponen-komponen berkaitan yang bekerjasama untuk mencapai suatu objektif (Ian Sommerville, 2007).


2.2.2 Sistem Maklumat Pengurusan

Selain daripada itu, Sistem Maklumat Pengurusan adalah Sistem maklumat berasaskan komputer yang direka bentuk bagi membantu pembentukan dasar bagi semua lapisan pengurusan. Sistem maklumat ini menggabungkan manusia, perkakasan, perisian, jaringan komunikasi dan sumber data yang kemudiannya diproses menjadi maklumat kepada organisasi. Sistem ini dibina mengikut langkah-langkah seperti, Pertama, Menganalisis penggubalan keputusan iaitu mengenal pasti objektif sesuatu organisasi dan jenis keputusan yang dibuat bagi mencapai objektif tersebut. Kedua, Menganalisis maklumat yang diperlukan berbeza-beza tertakluk kepada keputusan yang dibuat. Ketiga, Pengumpulan keseluruhan keputusan dengan keperluan maklumat yang sama. Keempat, Merekabentuk sistem pemprosesan maklumat iaitu merupakan mekanik bagi sistem informasi dan Kelima Merekabentuk sistem kawalan iaitu sistem maklumat pengurusan berkemungkinan mengesahkan kekurangan dalam bahagian-bahagian tertentu.


2.2.3 Sistem Dalam Talian

Aplikasi web merupakan salah satu contoh sistem dalam talian di mana. ia merupakan sebuah aplikasi yang boleh diakses dengan menggunakan web melalui rangkaian seperti internet atau intranet. Aplikasi ini akan memberi maklum balas kepada pengguna pada masa yang sama. Dengan menggunakan sistem dalam talian, ia akan memudahkan pengguna untuk mengakses di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa selagi terdapat talian internet. Secara umumnya ia digunakan untuk melaksanakan jualan produk dalam talian, chatting, discussion board dan sebagainya.


2.2.4 Sistem Sedia ada

Sistem sedia ada yang digunakan adalah penempahan secara manual. Proses tempahan oleh cawangan-cawangan adalah menggunakan emel, telefon atau datang sendiri ke cawangan.


2.2.5 Sistem yang Akan Dibangunkan

Sistem Pengurusan Tempahan Produk Koko yang akan dibangunkan merangkumi satu sistem yang dapat memudahkan pihak cawangan dan pihak stokis untuk menjalankan perniagaan dua hala. Stokis dapat membuat tempahan produk koko seperti biskut koko, ”ice cream” koko dan serbuk koko hanya dengan melayari laman web syarikat.

Pihak pengurusan cawangan akan menerima tempahan secara atas talian menggunakan sistem yang telah dibangunkan. Kemudian, tempahan itu akan disimpan di dalam pangkalan data yang sistematik dan ini secara langsung dapat menjimatkan kos dan ruang mendokumentasi seperti kertas, fail, almari dan bilik.


2.3 Keperluan Perkakasan dan Perisian

Tinjauan tentang keperluan perkakasan, keperluan perisian dan bahasa pengaturcaraan juga adalah satu aktiviti yang amat penting bagi memastikan pembangun sistem dapat memahami dan menyediakan segala keperluan sebelum memulakan pembangunan sistem. Segala perisian juga mesti dipastikan telah disimpan di dalam komputer secara lengkap dan dapat berfungsi dengan baik supaya proses pembangunan sistem tidak tergendala.



2.3.1 Keperluan Perkakasan

Antara keperluan perkakasan yang minimum diperlukan untuk membangunkan sistem ini adalah seperti berikut:

Alatan Kapasiti
Control Processor Unit Pentium II – 600 MHz
RAM 512 MB
Cakera keras 60 GB


2.3.2 Keperluan Perisian

Antara keperluan perisian yang diperlukan untuk membangunkan sistem ini
adalah seperti berikut:

a) Macromedia Dreamweaver MX 2004
b) Pangkalan data XAMPP
c) Adobe Photoshop CS2


2.3.3 Bahasa pengaturcaraan

Bahasa pengaturcaraan yang digunakan untuk membangunkan sistem ini adalah
bahasa pengaturcaraan PHP.



2.4 Kajian Terhadap Sistem Setara:

Kajian terhadap sistem setara atau sistem yang telah sedia ada amat penting untuk membangunkan sebuah sistem. Ia adalah bertujuan sebagai rujukan dan panduan untuk membangunkan sistem ini. Selain itu, kajian sistem setara juga dapat membekalkan pembangun sistem dengan maklumat-maklumat berkaitan yang amat berguna semasa membangunkan sistem agar tidak berlaku kesilapan.


2.4.1 Sistem Pelangibooks.com

Sistem Pelangibooks.com (www.pelangibooks.com) merupakan salah satu sistem yang telah dikaji. Pelangibooks.com membolehkan pengguna membuat pemilihan sendiri ke atas buku-buku yang dipromosikan di dalam laman web tersebut. Pengguna turut diberi pilihan sama ada hendak membuat bayaran secara tunai ataupun melalui bank.

Aliran sistem Pelangibooks.com bermula dengan pendaftaran akaun pengguna. Antara maklumat yang diperlukan dalam akaun pengguna adalah seperti nama, emel, nombor telefon, alamat untuk penghantaran dan lain-lain. Setelah mempunyai akaun, barulah pengguna boleh membuat tempahan dan pembelian buku yang diingini. Buku yang telah ditempah kemudiannya akan dihantar kepada pembeli menerusi alamat dan maklumat yang telah diberikan semasa membuat tempahan.


2.4.2 Acmamall.com

Acmamall.com (http://www.acmamall.com/) merupakan sebuah laman web yang menjual produk-produk dari luar negara yang tidak didapati di kedai-kedai tempatan di Malaysia. Antara produk yang dijual adalah seperti buku, barangan kosmetik dan kecantikan serta hadiah. Untuk membuat tempahan buku, pengguna perlu membuat pendaftaran akaun pengguna. Konsep tempahan dan pembelian di Acmamall.com mempunyai persamaan dengan sistem Pelangibooks.com .

Pengguna yang belum mempunyai akaun perlu mendaftar untuk membuat pembelian. Maklumat yang diperlukan adalah seperti nama dan emel. Apabila ingin membuat tempahan, pengguna perlu menambah butiran maklumat seperti nombor kad kredit, alamat penghantaran dan juga maklumat barang yang ingin ditempah. Pembekal seterusnya akan memberi maklum balas kepada pengguna sama ada melalui telefon atau pun emel. Pembayaran ke atas pembelian boleh dibuat melalui kad kredit, cek dan melalui bank.



2.4.3 Perbandingan Sistem Dengan Sistem Yang Dicadangkan



Sistem Penempahan dan Pengedaran Produk Koko ada menyediakan borang tempahan dan modul borang ini tidak terdapat di dalam sistem pelangibooks.com dan acmamall.com. Modul pendaftaran, tidak terdapat di dalam sistem semasa. Modul log masuk akan diimplimentasikan di dalam sistem penempahan dan pengedaran produk koko. Bagi dua sistem setara dan sistem yang akan dibangunkan ini mempunyai grafik dan imej serta butang navigasi.



2.5 Ringkasan

Kajian literatur merupakan aspek penting bagi membangunkan sistem yang berkualiti. Bab ini dapat membantu dalam membuat perbandingan terhadap sistem sedia ada dengan sistem yang bakal dibangunkan. Perbandingan turut dibuat untuk mengenalpasti kelemahan dan kelebihan sistem agar penambahbaikan dapat dilaksanakan supaya sistem yang akan dibangunkan mencapai objektif dan menepati kehendak pengguna.

Ahad, 26 Julai 2009

PROPOSAL

PENGENALAN




1.1 Latar Belakang

Penanaman koko merupakan antara kegiatan pertanian yang meluas kerana koko telah menyumbang kepada ekonomi negara dari segi keluaran negara, nilai perolehan eksport, gunatenaga dan kegunaan tanah. Terdapat pelbagai produk yang dihasilkan melalui koko seperti biskut, aiskrim dan serbuk koko. Jadi, untuk mengedarkan produk-produk tersebut ke seluruh tempat di Malaysia, amatlah sukar dan mengambil masa yang lama. Kebanyakan organisasi pada masa kini membenarkan pelanggan membuat tempahan produk secara dalam talian kerana dengan adanya sistem ini akan menjimatkan masa pelanggan dan juga memudahkan pengurusan pihak pentadbir. Lebih-lebih lagi, jika produk tersebut mendapat sambutan ramai seerti produk koko.

Sistem yang akan dibangunkan ini, akan memudahkan pihak pengurusan untuk menjalankan proses pengedaran produk dengan lebih sistematik di mana pihak cawangan boleh membuat tempahan secara dalam talian tanpa perlu ke kilang. Pembangunan sistem ini juga akan memudahkan pihak pengurusan untuk memantau maklumat cawangan dan juga maklumat pengedaran produk koko. Seterusnya menjadikan interaksi dua hala antara pihak syarikat dan cawangan-cawangannya menjadi lebih cepat dan tepat.

Selain daripada itu, sistem yang dibangunkan ini, akan memberi kelebihan kepada pihak syarikat daripada segi penjimatan masa, menjimatkan kos serta penggunaan ilmu dan teknologi secara optimum. Dengan Sistem Pengurusan Tempahan Produk Koko ini juga, akan memberi banyak faedah kepada para pengguna dalam menjalankan perniagaan dan kehidupan seharian. Sistem ini akan dibangunkan menggunakan bahasa pengaturcaraan PHP dan perisian Dreamwever untuk pembangunan antaramuka.


1.2 Pernyataan Masalah

Dengan menggunakan kaedah tempahan dan pengedaran traditional iaitu menggunakan telefon dan emel, terdapat jurang perhubungan yang jauh antara pihak pengurusan dan cawangan-cawangan. Ini boleh menyebabkan, inventori yang tidak mencukupi kerana penawaran produk tidak seimbang dengan permintaan terhadap sesuatu produk itu. Dengan adanya sistem ini, pihak yang berkenaan dapat memantau perjalanan atau permintaan terhadap sesuatu produk dengan cara dalam talian. Ini dapat memastikan produk yang berkaitan akan sentiasa mencukupi di pasaran. Selain daripada itu, pengedaran secara traditional ini juga mungkin boleh menyebabkan kehilangan atau kekhilafan atas data dan maklumat yang diberikan (contohnya melalui telefon). Kesilapan ini akan menyebabkan kerja penghantaran produk mungkin perlu dilaksanakan berulang kali untuk memenuhi permintaan pengguna.
1.3 Objektif

Membangunkan satu sistem pengurusan tempahan produk koko ke cawangan syarikat secara dalam talian.


1.4 Skop

Skop projek dibahagikan kepada dua iaitu skop sistem dan skop pengguna.

1.4.1 Skop Sistem

Sistem yang dibangunkan terdiri daripada beberapa modul utama seperti modul log masuk, modul pendaftaran pengguna dan modul tempahan.

1.4.2 Skop pengguna

Skop pengguna terdiri daripada dua iaitu pihak pentadbir dan pelanggan dari cawangan.


1.5 Kepentingan Projek

i. Memudahkan pihak pengurusan dalam proses pengawalan, penempahan dan pengedaran produk koko.
ii. Pengurusan Maklumat stok dan tempahan produk lebih cekap dan sistematik.
iii. Maklumat Cawangan dan tempahan yang dilakukan dapat diterima oleh pihak pengurusan dengan lengkap dan tepat.


1.6 Methodologi


1.6.1 Pengenalan

Bagi membangunkan sesebuah sistem, pendekatan yang sistematik perlu digunakan bagi memudahkan pelaksanaannya. Pendekatan tersebut adalah kitar hayat pembangunan sistem ataupun SDLC. SDLC merupakan pendekatan berfasa dalam analisis dan reka bentuk sistem.




Rajah 1.6.1.1 Metodologi Pembangunan Air Terjun (Alan D, et al., 2006). “System Analysis Design”

Model SDLC yang digunakan untuk pembangunan sistem ini adalah Model Air Terjun (Alan D, et al., 2006). “System Analysis Design seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 3.1. Fasa yang terdapat dalam model ini terdiri daripada fasa perancangan dan kajian awalan, fasa analisis, fasa reka bentuk, dan fasa implementasi. Kesemua fasa ini perlu dilakukan dengan teliti kerana setiap fasa akan mempengaruhi fasa-fasa yang seterusnya.


1.6.2 Fasa Perancangan dan Kajian Awalan

Fasa ini melibatkan proses mengenal pasti penyataan masalah, iaitu mendapatkan maklumat perjalanan sistem pengurusan penempahan produk koko yang dijalankan secara manual. Objektif projek turut dikaji bagi menyelesaikan perkara-perkara yang terdapat di dalam pernyataan masalah.


1.6.3 Fasa Analisis

Fasa analisis akan dijalankan bagi menganalisis keperluan sistem. Ia
melibatkan kajian dan perancangan pembangunan sistem dan projek. Fasa ini juga akan
menerangkan tentang sistem sedia ada dengan sistem-sistem setara agar kekurangan sistem dapat diperbaiki.. Perkara yang perlu dilakukan di dalam fasa ini ialah menganalisis keperluan pengguna serta sistem yang akan dibangunkan. Ini dibuat bagi melihat keberkesanan sistem tersebut kepada pihak sasaran. Rajah Aliran Data yang memberi gambaran konsepsual bagi sistem ini serta Rajah Hubungan Entiti dibuat bagi menggambarkan hubungan antara entiti luaran dengan sistem yang akan dihasilkan.


1.6.4 Fasa Reka Bentuk

Antara perkara yang perlu dilaksanakan dalam fasa ini adalah menghasilkan reka bentuk pangkalan data, reka bentuk antaramuka pengguna serta spesifikasi output dan output. Pembangun sistem mereka bentuk prosedur kemasukan data yang tepat supaya data yang digunakan di dalam sistem maklumat adalah betul. Antaramuka yang direka bentuk bertindak sebagai perantara di antara pengguna dengan sistem dan bertujuan memudahkan pengguna menggunakan sistem tersebut.


1.6.5 Fasa Implementasi

Fasa implementasi melibatkan pembangunan sistem sebenar di mana pembangunan aturcara sistem akan dilaksanakan menggunakan perisian yang bersesuaian iaitu perisian PHP manakala antaramuka sistem pula menggunakan perisian Dreamweaver MX dan Adobe Photoshop CS2. Pembangunan pangkalan data bagi sistem perlu dilaksanakan dengan teliti kerana pangkalan data merupakan tunjang kepada sesebuah sistem untuk berfungsi dengan baik. Selain itu fasa ini turut melibatkan proses pengujian aturcara dan pengujian sistem. Proses pengujian juga dibuat supaya ralat dan kelemahan pada sistem dapat dikenalpasti agar sistem dapat diperbaiki.


1.7 Carta Gantt




1.8 Keputusan Jangkaan

Berdasarkan kepada objektif sistem ini, sebuah Sistem Pengurusan Tempahan Produk Koko akan dibangunkan.


1.9 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, bab ini menerangkan pengenalan projek, penyataan masalah sedia ada, objektif, skop dan kepentingan projek. Sistem ini dibangunkan bagi memperbaiki sistem semasa yang sedia ada supaya dapat memberi kemudahan kepada para pengguna di masa hadapan. Bab seterusnya akan membincangkan mengenai kajian literatur bagi sistem ini.